• Belajar ilmu rawatan Islam kerana ibu                               Mohd Misbah mengubati salah seorang pesakit di pusat rawatan Islam di pekan Batu Kikir.
 
JEMPOL - Usia tidak menjadi penghalang kepada seorang anak muda di sini, untuk menawarkan perkhidmatan rawatan Islam dengan membuka pusat rawatan alternatif Insyirah Tawakal Pekan Batu Kikir, awal tahun ini.

Mohd Misbah Ab Kudus, 27, berkata, pada mulanya dia mempelajari ilmu rawatan Islam di Ipoh, Perak untuk merawat arwah ibunya yang mengidap penyakit kanser air pada 2012.

Namun menurut anak keenam daripada tujuh beradik itu, ibunya meninggal dunia setahun lalu.

“Bermula dari situ, saya nekad menawarkan perkhidmatan perubatan Islam walaupun usia saya dikatakan muda, yang penting kita berusaha untuk bantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Menyentuh mengenai yang ditawarkannya, Mohd Misbah berkata, dia hanya mengamalkan ayat suci al-Quran dan kebanyakan yang datang menemuinya adalah bagi membuang saka.

“Kaedah rawatan banyak, namun jauhkan daripada berjumpa dengan bomoh kerana dalam Islam ada cara untuk mengubati pesakit dengan ayat suci al-Quran, tidak perlu bacaan jampi serapah.

"Malah, ramai juga yang datang untuk berubat dan antaranya pening kepala.

Tiga punca yang dikenal pasti adalah sakit disebabkan migrain, gangguan ataupun faktor cuaca,” katanya yang kini sedang mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Terbuka Malaysia dalam jurusan pentadbiran.

Bagaimanapun menurut Mohd Misbah, walaupun kebanyakan pesakitnya beransur pulih selepas mendapatkan rawatan, dia mengakui semuanya adalah atas keizinan dan kekuasaan ALLAH.